Membayar zakat untuk rakyat Palestin

. . No comments:
SARANAN Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz al-Sheikh baru-baru ini supaya rakyat negara itu membayar zakat kepada rakyat Palestin di Gaza sangat menarik perhatian penulis.
Seperti semua kita maklum, saudara kita di Gaza sekarang berdepan dengan kesukaran dan kepayahan yang amat berat akibat tindakan tidak berperikemanusiaan dan zalim rejim Yahudi Zionis.
Gaza diserang dari pelbagai penjuru dan sudut. Sehingga ke hari ini, statistik menunjukkan seramai 469 orang telah syahid manakala lebih 3,000 orang cedera akibat serangan tersebut. Lebih memilukan ramai dalam kalangan mangsa terdiri daripada kanak-kanak dan kaum wanita.

Menurut mufti berkenaan, rakyat Gaza adalah orang yang paling layak menerima zakat pada masa ini. Mereka berada dalam kesusahan dan alami pelbagai kerosakan seperti hilang rumah penginapan, kemusnahan harta benda, kekurangan bekalan makanan dan sebagainya.
Bagi penulis, saranan ini bukan sahaja patut dibuat kepada rakyat di Arab Saudi, malah ia wajar dibuat kepada seluruh umat Islam di atas muka bumi ini. Ini kerana membantu sesama saudara seIslam sangat disukai Allah SWT.


Di dalam Surah al-Maidah ayat 2, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran".
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda "Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barang siapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat''.

Seruan mengeluarkan zakat untuk Gaza juga wajar dihayati oleh masyarakat Islam di negara kita. Walaupun jarak antara kita dengan Gaza adalah jauh beribu batu, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak membantu mereka. Atas tujuan zakat untuk Gaza, penulis ingin mengemukakan beberapa saranan kepada masyarakat, institusi zakat dan pemimpin negara.

Pertama, bagi masyarakat yang belum menunaikan zakat fitrah, maka inilah peluang terbaik anda untuk membantu rakyat Gaza. Keluarkan zakat fitrah untuk diserahkan kepada pihak-pihak tertentu yang akan menyalurkan dana kepada rakyat Gaza seperti Aqsa Syarif, Aman Palestin dan Muslim Care.
Jika ada zakat harta lain yang belum dilunaskan seperti zakat perniagaan, zakat emas, zakat padi, zakat wang simpanan dan sebagainya, maka silalah serahkan bayaran tersebut kepada rakyat Gaza. Bagi yang ingin melunaskan hutang-piutang zakat yang tidak dibayar pada tahun-tahun sebelum ini, maka inilah masa terbaik untuk anda membayarnya.

Ingatlah setiap zakat yang dibayar akan mendapat dua bentuk ganjaran, iaitu di dunia dan di akhirat. Di dunia, kita mendapat potongan 100 peratus jumlah zakat yang dikeluarkan bagi tujuan cukai pendapatan. Di akhirat, insya-Allah kita akan dianugerahkan kerahmatan kerana telah melaksanakan perintah Allah.
Kedua, institusi zakat di seluruh negara diharap dapat memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu rakyat Gaza.

Penulis pernah membaca laporan yang mana Lembaga Zakat Selangor (LZS) pernah menyumbangkan dana zakat sebanyak RM1 juta kepada rakyat Gaza pada 2009. Ini menunjukkan bahawa LZS telah melaksanakan usaha yang proaktif.
Justeru, institusi-institusi zakat di negeri-negeri lain disaran untuk mencontohi tindakan LZS ini. Jika boleh, setiap institusi zakat harus memperuntukkan dalam bajet tahunan zakat kadar antara 1 hingga 10 peratus hasil kutipan zakat setiap tahun untuk diserahkan kepada rakyat Gaza.

Dengan usaha ini, pembayar zakat akan merasa lebih gembira kerana mereka secara langsung telah membantu masyarakat Islam tempatan dan antarabangsa.

Ketiga, negara harus memainkan peranan penting dalam memastikan usaha membantu rakyat Gaza dapat dilakukan dengan lebih teratur. Pada suatu ketika dahulu, seingat penulis negara telah menggerakkan usaha untuk menubuhkan lembaga urus zakat di peringkat antarabangsa. Usaha ini telah dilakukan melalui Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).

Malaysia, sebagai pengerusi OIC pada ketika itu telah mengambil inisiatif bagi menyatukan negara-negara Islam khususnya dalam mengumpul dan mengagihkan dana zakat antara negara-negara Islam. Ideanya adalah untuk mengagihkan semula kekayaan negara Islam dengan mengambil dana zakat daripada negara-negara Islam yang kaya untuk diserahkan kepada negara-negara Islam yang miskin.

Lihat saja berapa banyak lebihan wang zakat berjuta-juta ringgit dalam negara kita. Ini tidak termasuk lebihan dana zakat di Arab Saudi, Emeriyah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara Islam lain. Dana ini jika dikumpulkan tentulah boleh mencapai berbilion-bilion ringgit.

Jumlah dana berbilion ringgit ini boleh digunakan untuk membantu masyarakat Islam yang dalam kesusahan. Rakyat Gaza merupakan contoh kumpulan yang akan dapat manfaat yang besar jika pelaksanaan lembaga zakat tersebut dapat direalisasikan. Masyarakat Islam seperti di Somalia dan Myanmar juga akan merasa senang dengan duit zakat ini.
Namun, penulis difahamkan pada waktu tersebut pelaksanaannya cukup mencabar. Ini mungkin kerana negara-negara Islam tidak bersatu. Masing-masing mempunyai rasa ego, syak wasangka dan tidak mempercayai antara satu sama lain. Natijahnya, objektif sebenar pelaksanaan zakat tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya.

Justeru, adalah menjadi harapan penulis agar usaha-usaha untuk menyalurkan bantuan dana zakat kepada rakyat Gaza dapat dilakukan secepat mungkin. Penulis juga ingin melihat suatu hari nanti negara-negara Islam akan bersatu dan menjadikan zakat sebagai medium hebat membantu orang Islam di seluruh dunia. Jangan lupa terus-terusan berdoa untuk Gaza.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia

Harap kongsi dengan ikhlas, terima kasih. »»



No comments:

Post a Comment

[Minta Tolong Sikit]

Komen yang mempunyai link ke mana-mana blog atau laman web yang menghala ke arah perniagaan dan keuntungan, akan dipadamkan tanpa notis. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis. Mohon janganlah SPAM ruangan ini. Terima kasih atas kerjasama yang anda berikan dan sikap sporting anda.

Berminat untuk beriklan? Boleh buat tempahan di ruang ADVERTISE.

Subscribe

Baru

Review

Komen Terkini