Facebook tonjolkan banyak wajah buruk penggunanya

. . No comments:
KIRA-KIRA 10 tahun lalu sewaktu Mark Zuckerberg melancarkan Facebook, yang ketika itu dikenali sebagai thefacebook.com., mahasiswa tahun dua ini mencedok nama tersebut daripada sebuah penerbitan yang digunakan oleh para penuntut Universiti Harvard untuk berkenal-kenalan dan berhubungan sesama mereka menerusi Internet.
Sudah tercatat dalam sejarah, Facebook kemudiannya menjadi begitu popular sehinggakan dalam masa singkat, ia telah dibuka kepada penuntut kolej lain dan kemudiannya meluas kepada pelajar sekolah tinggi dan orang awam yang menggunakan Internet, asalkan berumur 13 dan ke atas.

Kini Facebook (FB) atau mengikut terjemahan penyanyi Najwa Latif, Muka Buku, sudah menjadi fenomena malah bagi sesetengah orang umpama habit atau tabiat yang tidak boleh ditinggalkan.
Ada yang sepanjang masa mengemas kini status FB. Ada yang tidak kerap namun konsisten memuat naik status akaunnya. Ada yang tidak memuat naik status sendiri tetapi sepanjang masa memberi komen, kongsi (share) atau like status orang lain.

Bahkan ada juga yang tidak ada status, tidak komen, tidak share atau like, namun sentiasa membaca notifikasi - tidak mahu ketinggalan dalam dunia perkongsian maya.
Sebagaimana asasnya dilahirkan Zuckerberg untuk mengenali sesama rakan universiti, begitulah natijahnya FB membuatkan kita mengenal wajah pengguna laman sosial ini.
Yang tak seronoknya bukan hanya sesama rakan FB, yang bukan rakan, orang kenamaan termasuk orang politik pun terserlah wajah masing-masing atau lebih tepat terbuka pekungnya di Muka Buku ini.

Guna Facebook dengan bijak

Watak sebenar di sebalik wajah pemilik akaun FB dengan mudah dibaca untuk dipuja atau dikutuk, hanya berdasarkan sebaris status yang dikongsi untuk tatapan umum.
Dua tragedi yang menimpa industri penerbangan Malaysia - MH370 dan MH17 - dalam tempoh tidak sampai empat bulan menjadi saksi dan prasasti kepada wajah-wajah sebenar di sebalik pengguna FB di negara kita.

Bukan rahsia lagi, ramai dalam kalangan kita yang bukan sahaja tidak prihatin, tiada belas bahkan celupar memberikan komen-komen yang menghiris hati waris mangsa, menghina usaha pihak berkuasa dan bersifat rasis.
Bayangkan kita pergi ke upacara pengkebumian bukan untuk menyampaikan simpati sebaliknya mencerca-nista si mati di hadapan ahli keluarganya. Apa agaknya reaksi yang kita harapkan?

Jawapannya, mungkin sahaja kita dijerkah, dihalau atau lebih teruk ditempeleng, bukan hanya oleh kaum keluarga atau sahabat-handai bahkan sesiapa jua yang berada di sekitar dan mendengar kata-kata tidak bertamadun daripada kita.
Justeru apa bezanya dengan memuat naik komen tidak sensitif dan kontroversi di FB? Hukumnya pada penulis tetap sama.
Lantas memang selayaknyalah kecaman yang diterima oleh dua anggota DAP, seorang bergelar Yang Berhormat dan seorang lagi isteri pemimpin parti itu yang tentu sahaja terhormat, apabila mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya berhubung tragedi MH17.
Dalam keadaan rakyat Malaysia khususnya mereka yang berkait langsung dengan anak kapal dan penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu sedang berduka, gelagat ahli politik muka tembok yang mahu mempergunakan tragedi yang berlaku untuk meraih keuntungan politik sempit mereka memang cukup memalukan.

Tindak-tanduk ahli politik yang tidak layak bergelar Yang Berhormat (YB) ini, bak kata Naib Presiden Wanita MCA, Ong Chong Swen, merupakan 'satu lagi bencana kepada negara!'
Di saat-saat negara kita sedang menghadapi kejutan besar yang tak terduga dan rakyat secara umum masih terpempan dengan malang bertimpa, pemimpin politik tertentu usahkan hendak menghulur simpati, tergamak pula mengeluarkan kenyataan kontroversi.
Tidak perlu penulis ulas panjang lebar, rakyat Malaysia boleh menilai sendiri spesies macam manakah mereka ini?
Perumpaan menyebut, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.
Mungkin teruja dan terasuh minda dengan ungkapan tidak berhemah daripada pemimpin seumpama ini, ramai lagi warga FB yang lebih teruk sehingga sanggup menghina keturunan mangsa. Apa yang diungkapkan kadang-kala tak tercapai dek akal kita sebagai manusia namun itulah hakikatnya. Memang ada manusia sebegitu dalam kalangan kita.

Sepatutnya jika tidak mahu menghulurkan bantuan sekali pun, janganlah cuba mengambil kesempatan dengan mencari perbatuan politik daripada tragedi MH17.

Ini adalah detik menyedihkan dalam hidup ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa tragedi pesawat MH17, apa salahnya kita beri sokongan moral dengan menunjukkan simpati agar mereka diberi kekuatan untuk menghadapi saat mencabar ini.
Jika itu pun enggan kita lakukan, cukuplah dengan tidak berbuat apa-apa. Jangan komen, jangan share kenyataan, video atau gambar yang bukan-bukan, yang boleh mengguris perasaan mereka.

Jika terbukti benar bahawa MH17 ditembak jatuh, apa yang sepatutnya kita lakukan adalah mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pengganas yang tidak berperikemanusiaan itu. Bukannya mengutuk MAS yang menjadi mangsa konflik geopolitik dunia atau pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia yang bertungkus-lumus mahu 'menyelamatkan' jasad mangsa.

Dalam masa sukar ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengetepikan apa juga perbezaan dan bersatu menuntut keadilan buat mangsa-mangsa yang tidak berdosa dan ahli keluarga mereka dengan bersama-sama masyarakat antarabangsa mengenakan tekanan terhadap pihak yang sebenar-benarnya bersalah.

Nasihat saya, tolonglah hormati waris mangsa kalau pun enggan membantu mahupun memberi sokongan moral kepada mereka.

Janganlah tragedi seperti ini pun hendak dipolitikkan. Janganlah tunjukkan wajah buruk kita kepada dunia

Harap kongsi dengan ikhlas, terima kasih. »»



No comments:

Post a Comment

[Minta Tolong Sikit]

Komen yang mempunyai link ke mana-mana blog atau laman web yang menghala ke arah perniagaan dan keuntungan, akan dipadamkan tanpa notis. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis. Mohon janganlah SPAM ruangan ini. Terima kasih atas kerjasama yang anda berikan dan sikap sporting anda.

Berminat untuk beriklan? Boleh buat tempahan di ruang ADVERTISE.

Subscribe

Baru

Review

BloggerWidget

Komen Terkini

LINK ALTERNATIF HOTTOGEL:

Kini hadir buat kalian yang hoby mainkan angka keberuntungan,,
Tidak hanya itu, permainan Livecasino juga ada buat para bettor sejati.
Ada b ...

Admin:

test komen

mbm:

tak salah cuba tuan, lagi pun free jer tuh.

syuib osman:

terbaik... saya dah daftar percuma tuh, saja nak try.

adi:

Wah, kat sini ada info rupannya....